KUALA LUMPUR: Baki 16 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih dalam perbincangan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, dengan satu tuntutan dikategorikan selesai secara sebahagian, manakala dua lagi mencapai keputusan dasar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata lapan tuntutan masih dalam rundingan manakala lima lagi dibawa ke peringkat tertinggi.
“Kerajaan MADANI akan pastikan pelaksanaan MA63 dilakukan secara berhemah, inklusif dan berteraskan semangat Persekutuan Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa tempoh penyelesaian baki tuntutan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk perbezaan tafsiran undang-undang dan proses perundangan yang mengambil masa panjang.
Setakat ini, sebanyak 13 tuntutan telah diselesaikan, antaranya:
- Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak.
- Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah dan Luar Bandar Sarawak diiktiraf sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).
- Pindaan Akta LHDN 1995 bagi melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap.
- Penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah untuk penjanaan elektrik.
- Pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak.
- Pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak.
Mustapha menekankan komitmen kerajaan terhadap hak Sabah dan Sarawak melalui pembaharuan struktur, termasuk penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mempercepat proses rundingan dan penyelesaian tuntutan.
Beliau juga menegaskan sokongan fiskal kerajaan MADANI terhadap kedua-dua negeri, dengan peningkatan belanjawan pembangunan 2026 sebanyak RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak.

