KOTA KINABALU: Pegawai atau kakitangan kerajaan negeri yang merasakan diri mereka tidak mampu melaksanakan tugas secara berkesan disaran memaklumkan perkara itu kepada pihak atasan atau Ketua Menteri bagi membolehkan penempatan semula dipertimbangkan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah itu penting bagi memperkukuhkan keupayaan perkhidmatan awam dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
Beliau berkata penjawat awam tidak seharusnya berperanan sebagai pelaksana arahan semata-mata, sebaliknya perlu bertindak sebagai rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar serta program kerajaan negeri kepada hasil yang memberi impak langsung kepada rakyat.
“Penjawat awam bukan sekadar ‘saya yang menurut perintah’, tetapi rakan strategik dalam memastikan dasar dan program kerajaan dilaksanakan secara berkesan.
“Perkhidmatan awam merupakan tulang belakang kepada kestabilan pentadbiran. Kerajaan boleh bertukar dan dasar boleh berubah, namun perkhidmatan awam mesti kekal profesional, neutral serta berorientasikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji turut mengingatkan penjawat awam supaya mengekalkan disiplin serta tahap integriti yang tinggi, sambil menegaskan bahawa perlakuan tidak berintegriti bukan sahaja mencemarkan reputasi individu, malah memberi kesan kepada institusi dan boleh mengakibatkan kerugian besar kepada negeri dan negara.
Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk mewujudkan pentadbiran yang lebih tersusun dan berdisiplin, termasuk usaha mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ABMS 37001:2025 secara bersepadu melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri.
Langkah itu, katanya, bertujuan memperkukuhkan tadbir urus organisasi, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta menzahirkan komitmen terhadap integriti, ketelusan dan akauntabiliti. Beliau menegaskan usaha memperkasa perkhidmatan awam perlu melibatkan bukan sahaja agensi kerajaan, tetapi juga badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

