Mandat rakyat kukuhkan Sabah di landasan tepat – Hajiji
18:01 Jan 30, 2026  |  By SabahKini2
Mandat rakyat kukuhkan Sabah di landasan tepat – Hajiji

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mandat penggal kedua itu membolehkan kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan secara lebih tersusun dan berfokus.

KOTA KINABALU: Kedudukan Sabah ketika ini berada dalam keadaan yang jauh lebih baik berbanding lima tahun lalu hasil mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 (PRU17).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mandat penggal kedua itu membolehkan kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan secara lebih tersusun dan berfokus.

Menurutnya, sejak Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pentadbiran negeri, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memperkukuh kestabilan politik, memantapkan pentadbiran serta memperkasakan ekonomi negeri.

“Kita telah berjaya meletakkan Sabah pada landasan yang tepat dengan memperkukuh kestabilan, memantapkan pentadbiran, mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Sabah kini bersedia untuk terus mara ke hadapan dan mengecapi kemajuan serta pembangunan yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Ketua Menteri kepada penjawat awam negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata, pencapaian itu menuntut kerajaan negeri untuk memperketat pemantauan bagi memastikan keberkesanan sistem pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama padu antara kepimpinan negeri dan penjawat awam akan membolehkan kerajaan mengekalkan momentum kejayaan yang telah dicapai sepanjang tempoh lima tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata landskap politik negeri ketika ini semakin stabil susulan penguasaan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri oleh kerajaan negeri, sekali gus menjamin kesinambungan agenda pembangunan jangka panjang.

“Kestabilan ini membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk menggubal serta meminda perlembagaan negeri selaras dengan keperluan semasa.

“Antaranya cadangan menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun, penambahan anggota kabinet negeri serta penjenamaan semula jawatan Pembantu Menteri kepada Timbalan Menteri,” jelasnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga sedang melaksanakan penstrukturan semula beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pentadbiran.

“Langkah ini penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan benar-benar efisien serta tidak membebankan rakyat dan kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, usaha berkenaan selaras dengan aspirasi rakyat serta agenda pembangunan negeri di bawah kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.

Hajiji turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan secara berterusan dan konstruktif demi memastikan kepentingan serta kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara.

Comment