KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menekankan empat teras utama dalam Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) iaitu pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat, infrastruktur, dan kelestarian hijau.
Beliau berkata, pembangunan modal insan menjadi keutamaan dengan peruntukan RM164.01 juta yang merangkumi biasiswa, bantuan pendidikan, TVET, STEM, latihan pertanian, dan literasi kecerdasan buatan (AI).
SMJ 2.0 juga meneruskan pelbagai bantuan pendidikan termasuk 14 jenis bantuan bernilai RM203.4 juta manakala Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM145 juta pada 2025, memberi manfaat kepada 480,000 pelajar. Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) turut diiktiraf untuk permohonan biasiswa dan kemasukan perkhidmatan awam.
Dalam usaha kesejahteraan rakyat, program Rumah Mesra SMJ telah membantu 7,482 penerima, dengan 50 unit akan dibina setiap kawasan DUN tahun ini bagi golongan miskin, miskin tegar, dan pasangan muda. Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) pula diperluas daripada 100,000 kepada 140,000 penerima dengan peruntukan RM339.16 juta, selari bantuan kerajaan persekutuan seperti Sumbangan Asas Rahmah.
Bagi teras Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, sejumlah RM6.8 bilion diperuntukkan di bawah RMK-13 untuk pembangunan infrastruktur, utiliti, dan tenaga lestari termasuk Lebuh Raya Pan Borneo, loji rawatan air, pengukuhan grid elektrik serta projek OTEC, hidroelektrik dan penjanaan tenaga biru.
Kerajaan turut memperluas infrastruktur digital melalui Pusat e-Desa, VSAT, dan Starlink, selaras agenda kerajaan digital berteraskan AI. Dalam aspek kelestarian hijau, sebanyak RM672.05 juta diperuntukkan bagi perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar dan tindak balas perubahan iklim, dengan sasaran 30% Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) menjelang 2030.
Ekonomi Biru juga diangkat sebagai pemacu strategik SMJ 2.0 termasuk pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari, serta pemanfaatan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar. Blue Financing diperkenalkan melalui MoU dengan Maybank untuk penerbitan Sukuk Biru bernilai RM1 bilion, dengan jumlah permulaan RM300 juta.
Hajiji menegaskan kejayaan SMJ 2.0 bergantung kepada penjawat awam sebagai nadi pelaksanaan dasar, dengan kecekapan, integriti dan disiplin sebagai penentu hasil pembangunan.
Beliau menambah, kerajaan negeri tidak akan kembali kepada pendekatan lama, dan setiap keputusan diambil demi kepentingan jangka panjang Sabah, walaupun kadangkala tidak popular.
“Kejayaan SMJ 2.0 adalah amanah bersama untuk memastikan peluang pekerjaan diwujudkan, pelaburan strategik diteruskan, dan pendapatan negeri diurus secara cekap, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat kini dan generasi akan datang,” katanya.

