Malaysia peroleh tambahan 780 hektar selepas pemuktamadan sempadan Sabah–Indonesia
18:02 Feb 04, 2026  |  By SabahKini2
Malaysia peroleh tambahan 780 hektar selepas pemuktamadan sempadan Sabah–Indonesia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemuktamadan jajaran sempadan itu secara tidak langsung menjadikan sebahagian kecil kawasan tiga kampung.

KUALA LUMPUR: Malaysia memperoleh tambahan kawasan seluas 780 hektar hasil kerja pengukuran dan penandaan semula yang dijalankan bagi Isu Sempadan Tertunggak (OBP) di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, berhampiran Tawau, Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemuktamadan jajaran sempadan itu secara tidak langsung menjadikan sebahagian kecil kawasan tiga kampung iaitu Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas termasuk dalam wilayah Malaysia.

Beliau berkata, keseluruhan kawasan pertikaian di OBP Sungai Sinapad dan Sungai Sesai melibatkan keluasan 5,987 hektar, yang secara sejarahnya berada dalam kawasan pentadbiran Indonesia sejak Perjanjian 1915.

“Berdasarkan prinsip yang terkandung dalam Perjanjian 1915 serta Konvensyen 1891, sebanyak 780 hektar disahkan menjadi milik Malaysia, manakala 5,987 hektar kekal di bawah kedaulatan Indonesia,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika sesi penerangan mengenai Isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, setakat ini hanya sektor Sabah–Kalimantan Utara (KALTARA) yang telah dimuktamadkan, melibatkan OBP Sungai Sinapad–Sungai Sesai serta OBP Pulau Sebatik.

Bagi OBP Pulau Sebatik, Malaysia memperoleh tambahan kawasan seluas 0.05 kilometer persegi, bersamaan lima hektar.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerja siasatan, penandaan dan pengukuran semula di Pulau Sebatik telah dilaksanakan oleh pasukan ukur bersama Malaysia dan Indonesia dari Februari hingga November 2019.

Sementara itu, bagi OBP Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, proses pengukuran bersama dilakukan sehingga Ogos 2022 dan Oktober 2023, melibatkan jajaran sempadan muktamad sepanjang 11.545 kilometer.

Beliau berkata, proses rundingan dan pengukuran itu mengambil masa selama 47 tahun sejak 1977 dan diselesaikan secara berperingkat, sejajar dengan keperluan memelihara hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia berdasarkan perjanjian serta konvensyen antarabangsa yang dimeterai.

Comment