BE pacu agenda ekonomi Sabah, kerajaan negeri terus beri sokongan
18:02 Feb 04, 2026  |  By SabahKini2
BE pacu agenda ekonomi Sabah, kerajaan negeri terus beri sokongan

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, BE berperanan sebagai platform strategik yang merangsang pertumbuhan industri, memudah cara perbincangan pelaburan serta menggalakkan penyertaan pemain tempatan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengiktiraf penganjuran acara perniagaan Business Events (BE) sebagai antara pemacu penting kepada agenda ekonomi dan pembangunan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, BE berperanan sebagai platform strategik yang merangsang pertumbuhan industri, memudah cara perbincangan pelaburan serta menggalakkan penyertaan pemain tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan profesional serta bakat muda.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong penganjuran program seumpama BE yang selari dengan hala tuju ekonomi Sabah, di samping memperkukuh penglibatan serantau dan dialog pelaburan.

“Kerajaan akan memanfaatkan platform ini untuk memperluaskan kerjasama rentas sempadan serta menghubungkan keupayaan serantau dengan rangkaian global.

“Seiring perubahan jangkaan global, hala tuju Sabah kekal jelas dan berfokus, dengan penekanan kepada peningkatan piawaian, perkongsian strategik serta penyampaian yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, sempena Forum Antarabangsa ‘BE in Sabah’ Kali Ketiga 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji berkata, hasil yang dicapai melalui program BE amat signifikan dalam usaha mencapai pertumbuhan yang inklusif, seimbang dan mampan, selaras dengan strategi pembangunan Sabah yang berteraskan kestabilan, tadbir urus baik serta penciptaan nilai jangka panjang.

Menurutnya, keyakinan pelabur antarabangsa tidak hanya bergantung kepada pengumuman semata-mata, sebaliknya memerlukan dasar yang konsisten, hala tuju jelas serta pelaksanaan yang boleh dipercayai.

“Dalam konteks ini, BE berfungsi sebagai jambatan strategik antara dasar dan pelaksanaan, kepakaran global dan keupayaan tempatan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan kedudukan strategik Sabah di ASEAN Timur yang mempunyai potensi besar untuk kerjasama ekonomi serantau, selain komitmen kerajaan negeri terhadap penglibatan konstruktif melalui platform berimpak tinggi.

Hajiji berkata, penganjuran BE di SICC mencerminkan kesiapsiagaan Sabah dari segi kemudahan, penyelarasan institusi serta keupayaan industri dalam memastikan penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

Katanya, Biro Konvensyen Sabah (SCB) di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) turut memainkan peranan penting dengan bekerjasama rapat bersama industri bagi mewujudkan persekitaran penganjuran acara yang diyakini di peringkat global.

“Sabah bersedia dan komited untuk menerima penyertaan delegasi antarabangsa serta rakan tempatan dan serantau, sejajar dengan pendekatan kerajaan negeri yang menitikberatkan piawaian tinggi dan penyampaian perkhidmatan terbaik,” katanya.

Comment