DVS Sabah tindakan tegas rampas 27 tan ayam import tanpa permit
00:02 Feb 06, 2026  |  By SabahKini2
DVS Sabah tindakan tegas rampas 27 tan ayam import tanpa permit

Pengarah DVS Sabah, Dr Zul Bahar, berkata rampasan itu dibuat selepas operasi penguatkuasaan di Pelabuhan Sepanggar dan premis bilik sejuk beku di Inanam Laut pada 30 Januari lalu.

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah merampas 27 tan paha ayam sejuk beku bernilai RM268,410 selepas didapati tidak mempunyai permit import sah.

Pengarah DVS Sabah, Dr Zul Bahar, berkata rampasan itu dibuat selepas operasi penguatkuasaan di Pelabuhan Sepanggar dan premis bilik sejuk beku di Inanam Laut pada 30 Januari lalu.

Pemilik gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen yang sah.

“Operasi ini dilaksanakan secara terancang dan berperingkat, berasaskan maklumat risikan. Tindakan susulan di lokasi yang dikenal pasti membolehkan rampasan dijalankan dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi turut melibatkan kerjasama Unit Penguatkuasaan DVS Kota Kinabalu, Unit Pemeriksa Veterinar, Unit Kuarantin DVS KKIA, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Sementara itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, menyifatkan rampasan itu sebagai tindakan penting dalam melindungi keselamatan makanan dan biosekuriti negeri.

Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan cubaan membawa masuk produk makanan tanpa kelulusan sah, yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan kepercayaan rakyat terhadap sistem kawalan makanan.

“Operasi ini jelas menunjukkan ketegasan dan komitmen Sabah memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian dibenarkan di pasaran,” katanya.

Comment