KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah hari ini melancarkan Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+), satu langkah strategik bagi memastikan industri kayu negeri ini kekal mampan, berdaya saing dan menepati piawaian pasaran antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah TLAS+ merupakan sistem pertama seumpamanya di dunia yang menyatukan sepenuhnya pematuhan undang-undang, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.
Menurut beliau, sistem itu meletakkan Sabah di hadapan dalam memenuhi jangkaan peraturan dan pasaran global, khususnya apabila EUDR dijangka berkuat kuasa sepenuhnya menjelang akhir 2026.
Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun sempena majlis pelancaran buku berkenaan di sebuah hotel di sini.
Hajiji berkata, Sabah TLAS+ dibangunkan hasil kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah dan Fasiliti Kerjasama Kesatuan Eropah–Malaysia sejak 2024, sebagai usaha menaik taraf sistem sedia ada agar selari dengan keperluan perdagangan global.
“Sistem ini memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan integriti di sepanjang rantaian bekalan industri kayu Sabah,” katanya.
Beliau berkata, Sabah TLAS+ turut mengintegrasikan elemen kebolehjejakan digital, geolokasi, serta perlindungan sosial dan alam sekitar yang lebih menyeluruh, sekali gus memastikan pematuhan kepada keperluan bebas penebangan dan degradasi hutan.
Selain itu, sistem berkenaan juga selari dengan Arahan Ketekunan Wajar Kelestarian Korporat Kesatuan Eropah (EU CS3D) bagi membantu syarikat mengurus risiko hak asasi manusia dan alam sekitar sejajar dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Hajiji menegaskan, pengeluar kayu di Sabah kini bukan sahaja memenuhi keperluan undang-undang minimum, malah mampu membuktikan pematuhan yang telus dan bersedia menghadapi pasaran antarabangsa yang semakin ketat.
“Sabah kini terbuka untuk perniagaan lestari. Produk kayu kita adalah sah, boleh dijejaki, dihasilkan secara bertanggungjawab dan kekal berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kesatuan Eropah atas sokongan teknikal dan kewangan, serta memuji peranan Jabatan Perhutanan Sabah, pemain industri dan pihak berkepentingan dalam merealisasikan inisiatif berkenaan.

