Hajiji alu-alukan inisiatif Shell perkasa penyertaan tempatan industri minyak dan gas Sabah
00:02 Feb 06, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji alu-alukan inisiatif Shell perkasa penyertaan tempatan industri minyak dan gas Sabah

Beliau berkata, kerajaan negeri pada tahun lalu telah menetapkan sasaran peningkatan sebanyak 100 peratus bagi nilai kontrak Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang dianugerahkan kepada syarikat tempatan.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan inisiatif Shell Malaysia dalam memperkasakan penyertaan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas di Sabah bagi memperluas peluang ekonomi kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri pada tahun lalu telah menetapkan sasaran peningkatan sebanyak 100 peratus bagi nilai kontrak Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang dianugerahkan kepada syarikat tempatan.

Menurutnya, sasaran tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh penglibatan pemain tempatan serta membangunkan ekosistem tenaga yang lebih berdaya tahan di Sabah.

“Sasaran ini menekankan komitmen jitu negeri dalam memperkukuh penglibatan tempatan dan memupuk ekosistem tenaga tempatan yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Siti Hurrairah turut memberikan taklimat mengenai perkembangan perniagaan Shell di Sabah, termasuk aktiviti serta projek yang sedang dilaksanakan di negeri ini.

Beliau juga memaklumkan usaha berterusan Shell dalam memupuk keusahawanan tempatan melalui program Shell LiveWIRE.

Hadir sama dalam kunjungan tersebut ialah Pengurus Besar Sabah Shell, Alexon Jong; Pengurus Besar Perhubungan Korporat Malaysia Timur Shell Malaysia, Jonathan Jolly serta Penasihat Perhubungan Korporat Malaysia Timur Shell Malaysia, Liz Kumar.

Comment