Sabah berperanan penting dalam hubungan EU–Malaysia
00:02 Feb 06, 2026  |  By SabahKini2
Sabah berperanan penting dalam hubungan EU–Malaysia

Beliau turut menyatakan komitmen EU untuk terus memperkukuh hubungan dengan Sabah, berasaskan penglibatan positif dan hubungan baik yang telah terjalin sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menerima kunjungan hormat Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Rafael Daerr, di Menara Kinabalu.

Dalam pertemuan itu, Daerr berkata Sabah mempunyai kedudukan strategik dalam hubungan EU–Malaysia, sejajar dengan peranan negeri itu di rantau Asia Tenggara serta potensinya dalam bidang ekonomi, pembangunan mampan dan hubungan antarabangsa.

Beliau turut menyatakan komitmen EU untuk terus memperkukuh hubungan dengan Sabah, berasaskan penglibatan positif dan hubungan baik yang telah terjalin sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka terhadap kerjasama antarabangsa yang selari dengan hala tuju pembangunan Sabah dan berupaya memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya dalam mempercepat agenda pembangunan negeri.

Menurutnya, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama masa depan antara EU dan Sabah, termasuk meneroka peluang baharu yang lebih strategik dan berimpak tinggi, selain meneruskan bentuk kerjasama sedia ada.

Perbincangan itu juga menyentuh usaha memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang berpotensi, selaras dengan visi pembangunan Sabah serta kepentingan bersama EU.

Terdahulu, Daerr menghadiri majlis pelancaran Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+), sistem pertama seumpamanya di dunia yang menggabungkan keperluan perundangan, pematuhan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.

Sementara itu, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Konsul Republik Korea di Kota Kinabalu, Choi Bongkyu, dalam pertemuan pertama mereka sejak Choi dilantik sebagai konsul pada November lalu.

Comment