KOTA KINABALU: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) memperkukuh hubungan strategik bersama Kerajaan Negeri Sabah menerusi kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam usaha memperluas kerjasama pembangunan keusahawanan sosial dan inklusif di negeri itu.
Delegasi INSKEN diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Viviantie Sarjuni, dengan kunjungan tersebut turut menyusul penglibatan institut berkenaan di World Economic Forum (WEF) di Davos, selain sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa ekosistem keusahawanan Sabah.
Menurut INSKEN, pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperluas pembangunan usahawan sosial, komuniti luar bandar serta perusahaan berasaskan komuniti, sejajar dengan agenda pembangunan ekonomi inklusif dan mampan negeri.
Kerajaan Negeri Sabah turut menzahirkan penghargaan terhadap pendekatan inklusif INSKEN yang menekankan keperluan setempat dan pembangunan kapasiti usahawan, sekali gus membantu usahawan tempatan menjadi lebih berdaya tahan, mampan serta berdaya saing dalam pasaran lebih luas.
INSKEN juga merakamkan penghargaan kepada rakan strategik di peringkat negeri termasuk Institute for Development Studies (Sabah) dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) atas kerjasama rapat dalam menjayakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi.
Viviantie berkata, Sabah menampilkan contoh jelas bagaimana keusahawanan sosial berteraskan komuniti, kolaborasi rentas agensi serta pemerkasaan akar umbi mampu menangani jurang kemiskinan di samping memelihara kelestarian alam sekitar.
“Sabah kini antara ekosistem perusahaan sosial terbesar di Malaysia. Model perniagaan perusahaan sosial terbukti berkesan dalam menangani cabaran ekonomi serta kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau menambah, peranan INSKEN sebagai pemudah cara ekosistem adalah menghubungkan dasar, pelaksanaan serta rakan strategik supaya manfaat pembangunan dapat dirasai oleh usahawan di semua peringkat.
INSKEN, katanya, kekal komited menerajui agenda keusahawanan sosial dan pembangunan inklusif di peringkat nasional, dengan model kejayaan Sabah berpotensi diperluaskan ke negeri lain bagi membina ekosistem keusahawanan yang berdaya maju serta menawarkan peluang saksama kepada semua usahawan tanpa mengira latar belakang atau lokasi.

