PENAMPANG: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki dan merampas hampir setengah kilogram dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin dalam satu operasi di sini, Rabu lalu.
Suspek berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas pemerhatian dijalankan di hadapan sebuah kondominium sebelum dia ditahan di dalam sebuah kenderaan.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan ke atas kereta Toyota Altis yang dinaiki suspek membawa kepada penemuan 15 paket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 498.01 gram.
“Turut ditemui enam paket kecil dadah disyaki jenis ketamin seberat 15.10 gram selain 65 batang rokok disyaki mengandungi dadah.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM14,450,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku semua dadah berkenaan adalah miliknya dan dipercayai memperoleh bekalan daripada seorang individu yang masih dikesan.
“Dadah jenis ekstasi dan ketamin itu dipercayai untuk dihantar ke sebuah pusat hiburan dan suspek disyaki aktif menjalankan kegiatan pengedaran sejak Oktober 2025,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran serta sumber bekalan dadah terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
“Suspek kini direman dan polis tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan akan dibuat,” katanya.

