Sabah fokus ekonomi dan perpaduan menerusi SMJ 2.0
19:02 Feb 10, 2026  |  By SabahKini2
Sabah fokus ekonomi dan perpaduan menerusi SMJ 2.0

Hajiji berkata, kejayaan pelaksanaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada di landasan tepat, manakala SMJ 2.0 pula dirangka selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus memperkasa pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) sebagai fasa lonjakan baharu untuk meningkatkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata, SMJ 2.0 bukan sekadar kesinambungan pelan pembangunan sebelum ini, sebaliknya dirangka sebagai pemangkin perubahan menyeluruh merangkumi cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu demi kesejahteraan rakyat.

“SMJ 2.0 menumpukan pembangunan ekonomi, pemerkasaan modal insan dan kesejahteraan rakyat, dengan perpaduan kekal sebagai asas kepada kestabilan dan kemakmuran negeri,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang pada Majlis Perasmian Karnival Tahun Baharu Cina 2026, di sini, Isnin.

Hajiji berkata, kejayaan pelaksanaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada di landasan tepat, manakala SMJ 2.0 pula dirangka selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Menurutnya, pendekatan pembangunan berterusan itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan serta keupayaan negeri menghadapi cabaran masa depan secara lebih strategik dan bersepadu.

Beliau turut menegaskan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum merupakan kekuatan sosial Sabah yang perlu terus dipelihara.

“Karnival ini mencerminkan keunikan Sabah sebagai negeri berbilang budaya, di mana setiap perayaan diraikan bersama dalam semangat saling menghormati dan muhibah,” katanya.

Hajiji turut mengiktiraf peranan masyarakat Cina sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri, khususnya dalam sektor ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan pemeliharaan warisan budaya.

Katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong penglibatan pertubuhan masyarakat Cina sebagai rakan pelaksana agenda pembangunan Sabah di bawah kerangka Sabah Maju Jaya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Gabungan Persatuan Cina Sabah yang menghimpunkan lebih 160 persatuan dari seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan atas sumbangan berterusan dalam program kemasyarakatan.

Hajiji mengakhiri ucapan dengan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2026 kepada masyarakat Cina di Sabah, sambil berharap sambutan itu terus mengukuhkan perpaduan dan keharmonian negeri.

Comment