Zakat Fitrah Sabah 2026: RM7.50 dan RM15.00 Ditetapkan MUIS
19:02 Feb 10, 2026  |  By SabahKini2
Zakat Fitrah Sabah 2026: RM7.50 dan RM15.00 Ditetapkan MUIS

Setiausaha MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali berkata, kadar RM7.50 dikenakan kepada individu yang memakan beras putih import, manakala kadar RM15.00 ditetapkan bagi mereka yang memakan beras wangi.

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menetapkan dua kadar zakat fitrah bagi tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi iaitu RM7.50 dan RM15.00, bergantung kepada jenis beras yang menjadi makanan harian umat Islam di negeri ini.

Setiausaha MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali berkata, kadar RM7.50 dikenakan kepada individu yang memakan beras putih import, manakala kadar RM15.00 ditetapkan bagi mereka yang memakan beras wangi.

Menurut beliau, penetapan dua kadar berbeza itu mengambil kira perbezaan harga dan jenis beras yang digunakan oleh masyarakat Islam Sabah, selain memastikan pelaksanaan zakat fitrah dapat ditunaikan dengan lebih tepat dan adil.

“Kedua-dua kadar ini telah mendapat kelulusan Sahibus Samahah Datuk Mufti Negeri Sabah selaku Pengerusi Jawatankuasa Zakat dan Fitrah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, kadar zakat fitrah ditentukan berdasarkan timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kilogram, selaras dengan Enakmen Zakat dan Fitrah 1993 serta keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Tambahnya, MUIS melalui Bahagian Zakat dan Fitrah turut menjalankan tinjauan harga beras di lapan daerah utama termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Keningau dengan kerjasama Beras Corporation (Sabah) Sdn Bhd.

“Hasil tinjauan mendapati harga purata beras putih import sekitar RM2.82 sekilogram manakala beras wangi sekitar RM5.43 sekilogram,” katanya.

Sehubungan itu, umat Islam di Sabah diseru agar menunaikan zakat fitrah mengikut kadar yang bersesuaian dengan jenis beras yang dimakan bagi membantu golongan asnaf menjelang Aidilfitri.

Majlis pengisytiharan kadar zakat fitrah 2026 disempurnakan oleh Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin dan disaksikan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih yang mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

Comment