18 Mac ditetapkan dengar permohonan ibu Zara Qairina sertai semakan kehakiman
19:02 Feb 12, 2026  |  By SabahKini2
18 Mac ditetapkan dengar permohonan ibu Zara Qairina sertai semakan kehakiman

Dalam afidavit sokongannya, Noraidah berkata sebagai waris terdekat, beliau mempunyai kepentingan langsung dan ketara dalam prosiding inkues serta sebarang dapatan yang akan dibuat.

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi menetapkan 18 Mac ini untuk mendengar permohonan ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir bagi menjadi pihak berkepentingan dalam semakan kehakiman difailkan sebuah NGO berhubung prosiding inkues kematian pelajar itu.

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam Shahlan Jufri dan Rizwandean M Borhan memaklumkan permohonan tersebut telah difailkan pada 23 Disember lalu bagi pihak Noraidah Lamat.

Dalam afidavit sokongannya, Noraidah berkata sebagai waris terdekat, beliau mempunyai kepentingan langsung dan ketara dalam prosiding inkues serta sebarang dapatan yang akan dibuat.

Beliau turut mendakwa Presiden Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (PEMBELA), selaku pemohon semakan kehakiman, tidak mempunyai kepentingan langsung dalam prosiding berkenaan.

Katanya, pembatalan inkues itu akan menjejaskan hak statutori beliau untuk mendapatkan penyiasatan menyeluruh, sah dan sewajarnya berhubung punca kematian anaknya.

Pada 21 November 2025, PEMBELA memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan keseluruhan prosiding inkues atas alasan ia dijalankan di bawah Kanun Tatacara Jenayah Persekutuan dan bukan mengikut Ordinan Inkues 1959.

NGO itu berhujah undang-undang Sabah, iaitu Ordinan Inkues 1959, sepatutnya diguna pakai kerana menyediakan jaminan prosedur yang wajar, selain memohon mahkamah mengisytiharkan ordinan itu sebagai undang-undang terpakai serta mengetepikan prosiding yang sedang berjalan.

Comment