KOTA KINABALU: Polis menjalankan siasatan susulan penemuan beberapa anggota badan manusia di sebuah pusat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, di sini, pagi Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya bersama pekerja lori sampah menjalankan pencarian lanjut di lokasi kejadian serta di satu lagi kawasan pembuangan sampah berhampiran.
Beliau berkata usaha itu termasuk menyelongkar semula timbunan sampah yang sudah dimasukkan ke dalam lori bagi mengesan kemungkinan terdapat anggota badan lain seperti badan, kepala serta anggota lain yang mungkin dibuang di lokasi berasingan.
“Setakat 11 pagi, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian dan dalam lori sampah tidak menemukan sebarang anggota badan lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, seorang pekerja lori sampah menemukan satu tangan manusia dari tapak tangan hingga ke pangkal bahu yang terjatuh dari tong sampah ketika menjalankan kerja rutin mengangkat sampah kira-kira 6.30 pagi.
Menurut beliau, pekerja terbabit bersama rakannya kemudian menghentikan kerja dan memeriksa kandungan tong sampah sebelum menemukan satu lagi anggota badan manusia iaitu kaki dari tapak kaki hingga ke pangkal paha.
Syed Lot berkata anggota badan berkenaan dipercayai telah dipotong sebelum dibalut atau dimasukkan ke dalam plastik sampah hitam dan dibuang ke dalam tong sampah.
Beliau berkata setakat ini polis belum memperoleh sebarang petunjuk berhubung identiti mangsa atau motif kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

