TAWAU: Dua blok gerai jenis tidak kekal masing-masing mengandungi 10 unit musnah dalam satu kebakaran yang berlaku kira-kira 26 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, malam tadi.
Ketua BBP Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.37 malam sebelum sepasukan anggota segera digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan dua blok gerai dengan api dipercayai bermula dari lot tengah.
“Berdasarkan maklumat saksi, terdapat bunyi letupan dari lot berkenaan sebelum kebakaran berlaku dan merebak ke unit lain,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, sebuah unit gerai berkeluasan kira-kira 12x30 kaki dianggarkan terbakar 90 peratus, manakala api turut merebak ke beberapa unit dalam deretan sama.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan dari arah kiri dan kanan bangunan. Sumber air diperoleh daripada jentera bomba serta bantuan lori tangki.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.32 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah malam,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.
Operasi melibatkan 18 anggota BBP Tawau dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Light Fire Rescue Tender (LFRT), satu Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta sebuah lori tangki.
Turut membantu di lokasi ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua anggota Bomba Komuniti, dua wakil Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

