KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan kehadiran pelabur dari Jepun untuk meneroka potensi pelaburan di Sabah, khususnya dalam sektor Ekonomi Biru yang kini menjadi antara fokus utama pembangunan negeri.
Perkara itu dinyatakan beliau ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki di Sri Gaya, hari ini.
Menurut Hajiji, Ekonomi Biru menawarkan pelbagai peluang strategik termasuk dalam bidang perikanan moden, bioteknologi marin, pelancongan lestari dan tenaga boleh diperbaharui berasaskan laut.
Beliau menegaskan, dasar mesra pelabur yang dilaksanakan Kerajaan Negeri terus memperkukuh keyakinan pelabur asing untuk menanam modal dan menjalinkan kerjasama jangka panjang di Sabah.
Shikata yang berada di Sabah untuk lawatan rasmi selama tiga hari turut dijadual melawat Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta mempromosikan Green×Expo 2027 yang akan berlangsung di Yokohama, Jepun.
Dalam lawatan itu, beliau turut diiringi Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Yamashita Yoshito bersama pegawai-pegawai Kedutaan Jepun ke Malaysia.

