Sindiket Dadah Antarabangsa Tumpas, Rampasan RM174 Juta di Sabah
19:02 Feb 13, 2026  |  By SabahKini2
Sindiket Dadah Antarabangsa Tumpas, Rampasan RM174 Juta di Sabah

Beliau berkata operasi itu membawa kepada rampasan enam kontena di Pelabuhan Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Klang selain penahanan lapan suspek berusia antara 23 hingga 45 tahun.

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar di Sabah bagi dekad ini menerusi Op Coleoptera dan Op Bayu 2 dengan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM174 juta.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kejayaan operasi bersepadu itu adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Lembaga Pelabuhan Malaysia.

Beliau berkata operasi itu membawa kepada rampasan enam kontena di Pelabuhan Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Klang selain penahanan lapan suspek berusia antara 23 hingga 45 tahun.

“Sindiket ini dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah merentasi Laut China Selatan dan menggunakan laluan laut sebagai kaedah utama pengangkutan sebelum menyimpan bahan terlarang dalam kontena di premis logistik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata operasi pertama bermula pada 20 Jan apabila pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menyerbu sebuah rumah di Penampang dan menahan dua lelaki tempatan.

Beliau berkata pemeriksaan menemukan 548 kilogram methamphetamine dan 31 kilogram pil ekstasi dalam sebuah kenderaan motorvan serta premis berkenaan.

“Pada hari sama, serbuan kedua di lokasi berasingan di daerah sama membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing, selain rampasan tambahan methamphetamine seberat 1.6 kilogram.

“Susulan risikan lanjut, polis menyerbu sebuah premis logistik di Pelabuhan Klang pada 21 Jan dan merampas 255 kilogram methamphetamine yang dipercayai belum sempat dihantar ke Sabah,” katanya.

Menurutnya, serbuan seterusnya di Pelabuhan Teluk Sepanggar menemukan 1,202 kilogram methamphetamine dalam tiga kontena, manakala pemeriksaan di premis logistik di Jalan Tuaran, Inanam membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, ekstasi, ketamin, cecair vape disyaki kokain dan pil Erimin 5.

“Selain itu, pemeriksaan sebuah lori kontena di sekitar Kota Kinabalu menemukan 679 kilogram methamphetamine dan 52 kilogram ketamin, manakala beberapa tangkapan susulan dibuat di Lembah Klang dan Penampang,” katanya.

Secara keseluruhan, Op Coleoptera mencatat rampasan 3,043.5 kilogram methamphetamine, 102.5 kilogram ketamin, 90 kilogram pil ekstasi, empat kilogram cecair vape disyaki kokain serta 2.6 kilogram pil Erimin 5.

Mohd Khalid berkata jumlah dadah berkenaan berupaya menjejaskan kira-kira 16 juta individu sekiranya memasuki pasaran.

Dalam operasi sama, polis turut menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM1 juta termasuk kenderaan mewah, motosikal berkuasa tinggi, jam tangan mewah, wang tunai RM504,850 dan barangan kemas mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Sementara itu, beliau berkata Op Bayu 2 yang dijalankan pada 5 Feb di Penampang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan bersama rampasan 101.7 kilogram methamphetamine bernilai RM5.66 juta di kawasan parkir sebuah bangunan.

“Siasatan lanjut membawa kepada lima lagi tangkapan dan rampasan tambahan melibatkan pelbagai jenis dadah termasuk syabu, serbuk ekstasi, pil ekstasi, ketamin dan Erimin 5 dengan nilai keseluruhan RM69.6 juta.

“Rampasan dalam Op Bayu 2 merangkumi 111.3 kilogram syabu, 419.62 kilogram serbuk ekstasi, 6.787 kilogram pil ekstasi serta sejumlah kecil ketamin dan Erimin 5 yang mampu menampung kira-kira 339,000 penagih bagi sekali penggunaan,” katanya.

Beliau berkata empat suspek telah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan, manakala beberapa lagi suspek masih dalam siasatan.

Katanya PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah dan akan terus memperhebat usaha bagi menumpaskan rangkaian sindiket jenayah itu.

Comment