Sabah tegas perangi sindiket dadah, tolak jadi laluan transit
14:02 Feb 16, 2026  |  By SabahKini2
Sabah tegas perangi sindiket dadah, tolak jadi laluan transit

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata ketegasan itu susulan kejayaan pihak berkuasa menumpaskan sindiket dadah antarabangsa baru-baru ini, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam memerangi jenayah berkenaan.

TUARAN: Kerajaan Sabah menegaskan komitmen untuk membanteras sebarang usaha menjadikan negeri itu sebagai laluan transit pengedaran dadah serta menolak cubaan menjadikan rakyat tempatan sebagai sasaran pasaran bahan terlarang.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata ketegasan itu susulan kejayaan pihak berkuasa menumpaskan sindiket dadah antarabangsa baru-baru ini, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam memerangi jenayah berkenaan.

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius isu pengedaran dadah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.

“Saya telah berhubung dengan Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail supaya tindakan tegas diambil terhadap kartel atau sindiket yang terlibat. Kita tidak boleh benarkan Sabah menjadi transit atau hab pengedaran dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Kebun Dapur Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah di Tuaran.

Hajiji berkata penguatkuasaan perlu diperkukuh secara menyeluruh dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Menurut beliau, kawalan ketat mesti dilaksanakan di semua pintu masuk negeri melibatkan laluan laut, udara dan darat bagi memastikan aktiviti penyeludupan serta pengedaran dadah dapat dibanteras sepenuhnya.

Pada Jumaat lepas, Polis Diraja Malaysia bersama agensi penguatkuasaan lain merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM240 juta menerusi Ops Coleoptera dan Ops Bayu 2 di beberapa kawasan di negeri itu.

Comment