TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah yakin kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pembayaran tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil negeri seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan berkenaan dibuat melalui proses perundangan dan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, jumlah bayaran yang bakal diterima masih belum dimuktamadkan, namun perbincangan di peringkat jawatankuasa antara kerajaan negeri dan Persekutuan sedang giat dijalankan.
“Mesyuarat di peringkat jawatankuasa telah diadakan dan perbincangan masih berjalan. Mesyuarat terbaharu juga diadakan baru-baru ini bagi memperincikan perkara berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Kebun Dapur Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah di Padang Istiadat, di sini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri optimis rundingan berterusan antara kedua-dua pihak akan menghasilkan keputusan positif termasuk pelaksanaan pembayaran dalam masa terdekat.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

