RM559.85 juta untuk MAFFI, Hajiji Noor perkukuh sekuriti makanan Sabah
14:02 Feb 16, 2026  |  By SabahKini2
RM559.85 juta untuk MAFFI, Hajiji Noor perkukuh sekuriti makanan Sabah

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan sekuriti makanan kekal kukuh, selaras dengan cabaran global dan nasional ketika ini.

TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan sebanyak RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) tahun ini sebagai langkah memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) tanaman makanan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan sekuriti makanan kekal kukuh, selaras dengan cabaran global dan nasional ketika ini.

Menurut beliau, sektor pertanian, perikanan dan industri makanan terus menjadi tunjang penting kepada pembangunan sosioekonomi Sabah.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat Tuaran, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar, Pembantu Menteri Datuk Ruslan Muharam serta Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau.

Dalam pada itu, Hajiji memaklumkan beberapa inisiatif sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Sabah termasuk pembangunan Zon Pengeluaran Tanaman Makanan Kekal di 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di seluruh negeri.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM3 juta kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM15 juta disediakan untuk perolehan jentera menuai dan pembajakan padi.

Beliau berkata langkah tersebut bertujuan menjadikan Sabah sebagai pengeluar padi dan beras yang mampan serta berdaya saing, dengan sasaran mencapai 60 peratus Tahap Sara Diri (SSL) menjelang tahun 2030.

Bagaimanapun, Hajiji menegaskan bahawa usaha memperkukuh sekuriti makanan tidak seharusnya bergantung kepada ladang berskala besar semata-mata, sebaliknya perlu bermula di peringkat komuniti.

Sehubungan itu, program Kebun Dapur di bawah Revolusi Ekonomi Luar Bandar diperkenalkan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup serta membentuk komuniti yang lebih berdikari dan mampan.

Menurut beliau, Jelajah Kebun Dapur akan dilaksanakan di seluruh Sabah bagi memastikan manfaat program dapat dinikmati oleh rakyat di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

Hajiji turut menyasarkan Tuaran sebagai “Daerah Kebun Dapur Model” dengan menjadikan inisiatif tersebut sebagai sebahagian daripada budaya hidup komuniti setempat.

Tambah beliau, program berkenaan akan diperkukuh melalui pendekatan mentor-mentee melibatkan usahawan berjaya bagi memastikan pemindahan ilmu dan amalan terbaik dapat dilaksanakan secara berterusan.

Comment