KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengetuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang melibatkan Ahli Jemaah Menteri Negeri di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Menara Kinabalu.
Sejurus selesai melafazkan ikrar, beliau bersama barisan kabinet negeri menandatangani dokumen IBR yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.
Mohd Fuad berkata pelaksanaan program IBR bersama Kabinet Negeri Sabah merupakan komitmen positif kerajaan negeri dalam memperkukuh integriti serta tadbir urus yang baik.
Beliau berkata inisiatif itu akan diperluaskan ke kementerian dan agensi di bawah kerajaan negeri bagi memastikan usaha pencegahan rasuah dilaksanakan secara menyeluruh.
“Pelaksanaan program ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan amalan rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dapat dicegah dengan lebih berkesan,” katanya.
Mohd Fuad turut berharap lebih banyak kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta, tampil menyertai program IBR.

