KOTA KINABALU: Agenda Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) menjadi pelengkap strategik kepada pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri Hajiji Noor.
Beliau berkata SDC turut menyokong aspirasi pembangunan negara di bawah kerangka Malaysia MADANI, dengan tumpuan kepada pelaburan berkualiti tinggi yang menjana pekerjaan bernilai tambah, mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan memberi manfaat langsung kepada komuniti.
“SEDIA berperanan sebagai pemudah cara strategik dalam penyelarasan perancangan, promosi pelaburan serta penghubung antara kerajaan negeri, agensi Persekutuan dan sektor swasta,” katanya pada majlis Sungkai Kurung-Kurung Ketua Menteri bersama ketua jabatan negeri dan Persekutuan di Menara Kinabalu.
Menurutnya, kerajaan negeri komited memastikan pembangunan dilaksanakan secara seimbang dan inklusif di seluruh Sabah melalui pelbagai kajian strategik di bawah kerangka SDC.
Antaranya termasuk pelan induk ekonomi dan pelan perniagaan bagi POIC Sandakan, pelan zon ekonomi bebas dan hab logistik di POIC Lahad Datu, kajian pembangunan ekonomi sempadan Sabah serta pelan induk Lembah Makanan di kawasan pedalaman.
Hajiji berkata dapatan kajian itu menyediakan asas kukuh bagi memacu pertumbuhan ekonomi wilayah secara mampan, selain memperkukuh peranan SEDIA sebagai penyelaras pembangunan negeri.
Beliau turut memaklumkan SEDIA mengekalkan rekod Sijil Bersih Tanpa Teguran bagi penyata kewangan selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009 hingga 2024.
Dalam tempoh 2020 hingga 2025, sebanyak 1,126 projek kecil berimpak tinggi dilaksanakan di tiga wilayah pembangunan utama melibatkan 32 daerah dan daerah kecil bagi meningkatkan akses kemudahan asas serta merapatkan jurang pembangunan, khususnya di luar bandar.
Hajiji turut menggesa ketua jabatan memperkukuh budaya prestasi tinggi bagi memastikan agenda “Sabah First” dilaksanakan dengan berkesan.
Pada majlis sama, beliau menyampaikan Sumbangan Kasih Ramadan kepada 16 pusat tahfiz dan pengajian Islam berdaftar.

