LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan cuaca tidak menentu serta laporan gegaran yang berlaku di kawasan perairan Sabah Timur.
Komandernya, Datuk Victor Sanjos, berkata langkah itu meliputi pengukuhan kerjasama dengan jabatan kerajaan, pasukan penguat kuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan setiap situasi dapat ditangani secara terselaras dan pantas.
Menurut beliau, pemantauan rapi dilaksanakan susulan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia berhubung kejadian gegaran yang kebanyakannya dilaporkan berlaku di laut, termasuk perairan berhampiran Kudat.
“Kita sentiasa bersedia membantu dan menyelaras operasi bersama semua agensi di peringkat persekutuan serta negeri bagi memastikan tahap keselamatan berada pada tahap terbaik.
“Pusat Operasi ESSCOM juga sentiasa berhubung dengan Jabatan Meteorologi untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, arahan telah dikeluarkan supaya sebarang perkembangan berkaitan cuaca atau situasi tidak menentu dimaklumkan segera kepada aset keselamatan, khususnya di laut.
Tambahnya, tindakan itu penting bagi membolehkan langkah berjaga-jaga diambil lebih awal sekali gus mengurangkan risiko terhadap anggota keselamatan dan komuniti setempat.
Dalam pada itu, orang ramai khususnya penduduk di Zon Keselamatan Timur Sabah dinasihatkan supaya tidak panik dan sentiasa merujuk sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat sahih.
“Masyarakat juga diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di media sosial kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keselamatan,” katanya.

