Suspek kes bunuh, kerat wanita akan didakwa esok
23:02 Feb 26, 2026  |  By SabahKini2
Suspek kes bunuh, kerat wanita akan didakwa esok

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, mengesahkan kertas siasatan kes berkenaan telah dilengkapkan dan arahan pertuduhan sudah dikeluarkan pihak pendakwaan.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya dikerat sebelum dibuang di beberapa lokasi awal bulan ini, dijangka dihadapkan ke Mahkamah Kota Kinabalu, esok.

Suspek yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, mengesahkan kertas siasatan kes berkenaan telah dilengkapkan dan arahan pertuduhan sudah dikeluarkan pihak pendakwaan.

“Esok kita akan tuduh suspek di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, tiga individu yang juga anak kepada suspek utama berkemungkinan dipanggil sebagai saksi pendakwaan bagi membantu prosiding perbicaraan.

Dalam kejadian pada 12 Februari lalu, seorang wanita ditemukan maut dalam keadaan anggota tubuh dikerat kepada beberapa bahagian sebelum dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai, Sepanggar.

Kes terbongkar kira-kira jam 6.30 pagi apabila seorang pekerja lori sampah menemukan anggota badan manusia ketika menjalankan tugas rutin sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa. Beberapa tangkapan susulan turut dibuat bagi membantu siasatan sehingga kertas siasatan dilengkapkan untuk tindakan lanjut.

Comment