Hajiji Noor saksi ikrar bebas rasuah libatkan kepimpinan politik Sabah
00:02 Feb 27, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji Noor saksi ikrar bebas rasuah libatkan kepimpinan politik Sabah

Majlis dimulakan dengan lafaz IBR oleh semua yang terlibat sebagai tanda komitmen memperkukuh integriti dan memantapkan tadbir urus beramanah dalam pentadbiran negeri.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menyaksikan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) membabitkan Pembantu-Pembantu Menteri serta Setiausaha-Setiausaha Politik Negeri Sabah di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Majlis dimulakan dengan lafaz IBR oleh semua yang terlibat sebagai tanda komitmen memperkukuh integriti dan memantapkan tadbir urus beramanah dalam pentadbiran negeri.

Selepas sesi menandatangani ikrar, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Joniston Bangkuai dan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim, masing-masing mewakili kumpulan berkenaan menyerahkan dokumen IBR kepada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah.

Mohd Fuad turut menyampaikan taklimat khas yang menekankan usaha pencegahan rasuah serta kepentingan pemantapan budaya integriti dalam perkhidmatan awam.

Turut hadir Pengarah Bahagian Kabinet dan Dasar Jabatan Ketua Menteri, Dayang Noorashikhin Zulkefli serta Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri, Awang Samsul Baharam Bungso.

Comment