Bunuh dan kerat mayat bekas tunang, warga emas 71 tahun didakwa
16:02 Feb 27, 2026  |  By SabahKini2
Bunuh dan kerat mayat bekas tunang, warga emas 71 tahun didakwa

Tertuduh, Piluta Samad, 71, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan membunuh secara kejam seorang wanita yang mayatnya ditemui dikerat di Indah Permai, Sepanggar.

Tertuduh, Piluta Samad, 71, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Hamidah Husin, juga dikenali sebagai Lisa, pada 11 Februari 2026 antara jam 6 petang hingga 7 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, minimum 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh memohon tarikh sebutan lanjut sementara menunggu laporan DNA, patologi, forensik dan kimia, selain membantah sebarang permohonan jaminan atas faktor keseriusan kes.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 April depan untuk sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh terus direman sehingga tarikh berkenaan. Tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita berusia 44 tahun ditemui maut dengan mayatnya dikerat kepada tujuh bahagian dan dibuang di beberapa tapak pelupusan sampah. Lelaki yang dipercayai bekas tunang mangsa ditahan sebagai suspek utama, manakala tiga individu lain terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang juga anaknya turut ditahan bagi membantu siasatan.

Setakat ini, dua bahagian anggota badan mangsa iaitu kaki kiri dan tangan kanan masih belum ditemui.

Comment