Jamawi jamin bekalan makanan mencukupi unutk mangsa banjir
15:02 Feb 28, 2026  |  By SabahKini2
Jamawi jamin bekalan makanan mencukupi unutk mangsa banjir

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah itu berkata kerajaan negeri mengutamakan kebajikan mangsa termasuk penyediaan makanan di PPS serta agihan bakul makanan tambahan selepas mangsa dibenarkan pulang.

TENOM: Jamawi Jaafar memberi jaminan tiada mangsa banjir di Tenom akan terputus bekalan makanan sepanjang berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah itu berkata kerajaan negeri mengutamakan kebajikan mangsa termasuk penyediaan makanan di PPS serta agihan bakul makanan tambahan selepas mangsa dibenarkan pulang.

Beliau bersama pasukan kementerian dan Kelab 4x4 Tenom turun padang meredah laluan alternatif bagi menghantar bekalan ke PPS yang terputus hubungan akibat penutupan jalan utama.

“Kita pastikan tiada mangsa kelaparan. Bantuan tambahan juga disediakan kepada setiap keluarga sebaik mereka pulang ke rumah,” katanya ketika meninjau keadaan mangsa banjir.

Menurutnya, operasi penghantaran bantuan diteruskan melalui laluan alternatif termasuk Pusat Kuliah Murut, Batu Kelamba, Entabuan dan Lagud Seberang.

Dalam masa sama, beliau mengarahkan agensi di bawah kementeriannya membuat penilaian segera terhadap kerugian sektor pertanian di kawasan terjejas termasuk Kemabong, Sipitang, Membakut dan Tongod.

Jamawi menyifatkan bencana kali ini sebagai banjir terburuk melanda daerah berkenaan sejak 2014, sekali gus memberi kesan besar kepada penduduk khususnya pada bulan Ramadan.

Sementara itu, Riduan Rubin turut mengetuai misi bantuan menyeluruh melibatkan agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan sukarelawan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau berkata bantuan awal meliputi keperluan asas, makanan serta sokongan logistik kepada mangsa banjir di beberapa PPS termasuk Mukim Kuala Tomani.

Selain itu, bekalan air mineral turut disalurkan kepada petugas barisan hadapan di Klinik Kesihatan Kuala Tomani dan Balai Polis Kuala Tomani.

Riduan berkata situasi banjir akan terus dipantau bagi memastikan semua keluarga terjejas menerima bantuan sewajarnya.

Comment