KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, menyambut baik komitmen PETRONAS untuk meneroka kerjasama lanjut dalam usaha memperluas penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, perbincangan itu memfokuskan kepada hala tuju kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan PETRONAS, termasuk perkembangan terkini operasi syarikat petroleum nasional berkenaan di Sabah.
“Kerajaan negeri komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan PETRONAS demi memastikan manfaat industri minyak dan gas dapat dinikmati rakyat Sabah,” katanya.
Dalam pertemuan sama, Tengku Muhammad Taufik turut memaklumkan mengenai inisiatif bantuan banjir yang digerakkan PETRONAS bagi menyokong usaha kerajaan negeri membantu komuniti terjejas akibat bencana berkenaan baru-baru ini.
Delegasi PETRONAS yang hadir termasuk Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas & Maritim, Datuk Adif Zulkifli; Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Datuk Bacho Pilong; serta Naib Presiden Hubungan Strategik & Komunikasi Kumpulan, Norafizal Mat Saad, bersama pegawai kanan syarikat itu.

