3 rumah, 3 kedai runcit musnah dalam kebakaran awal pagi di Sandakan
22:03 Mar 04, 2026  |  By SabahKini2
3 rumah, 3 kedai runcit musnah dalam kebakaran awal pagi di Sandakan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum 14 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.

SANDAKAN: Tiga rumah dan tiga kedai runcit musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Nenas, Karamunting, Sandakan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.01 pagi itu, keseluruhan premis jenis tidak kekal berkeluasan 90x150 kaki terbakar 100%, selain sebuah motosikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum 14 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.

“Jentera pertama tiba pada jam 3.14 pagi selepas menempuh jarak kira-kira 13km dari balai.

“Kebakaran membabitkan tiga rumah dan tiga kedai runcit jenis tidak kekal dan terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 800 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera dan Water Tanker.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.31 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat. Pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan kira-kira 350 rumah berhampiran daripada musnah,” katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Comment