MA63 bukan slogan politik, hak semua rakyat Sabah – Mustapha Sakmud
15:03 Mar 06, 2026  |  By SabahKini2
MA63 bukan slogan politik, hak semua rakyat Sabah – Mustapha Sakmud

Menurut beliau, antara komponen terpenting dalam MA63 bagi rakyat Sabah ialah pemberian 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip di negeri itu seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

KOTA KINABALU: Perjuangan menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar slogan politik dan tidak dimiliki oleh mana-mana parti, sebaliknya merupakan hak serta tanggungjawab semua rakyat negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud berkata, MA63 adalah dokumen sah yang menjadi asas pembentukan Malaysia dan menetapkan kedudukan Sabah serta Sarawak sebagai rakan dalam sebuah negara berdaulat.

Menurut beliau, antara komponen terpenting dalam MA63 bagi rakyat Sabah ialah pemberian 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip di negeri itu seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Setelah sekian lama tiada langkah konkrit yang diambil untuk menyelesaikan tunggakan ini, akhirnya Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membuka jalan agar hak Sabah dapat dipulangkan mengikut peruntukan yang termaktub dalam MA63,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan di Sabah di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mustapha berkata data daripada agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menunjukkan perkembangan positif dalam usaha menentukan jumlah sebenar 40 peratus hasil yang menjadi hak Sabah.

Katanya, penubuhan jawatankuasa khas bagi meneliti data hasil jabatan-jabatan Persekutuan di Sabah membuktikan kesungguhan kerajaan Persekutuan untuk menangani perkara itu secara telus dan bertanggungjawab.

Mengulas dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan memfailkan notis usul bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah berkaitan tuntutan Geran Khas 40 peratus hasil Sabah, beliau berkata masih belum menerima maklumat lengkap mengenai perkara tersebut.

“Saya ada mendengar mengenai perkara itu, namun tiada maklumat rasmi yang saya terima setakat ini. Kita akan meminta Kementerian Kewangan menyediakan laporan terperinci mengenainya,” katanya.

Comment