KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus memperkukuh aspek keselamatan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, potensi Sabah sebagai hab ekonomi biru di rantau Asean Timur amat besar berikutan kekayaan biodiversiti laut serta kedudukan strategik negeri itu di laluan perdagangan serantau.
Menurutnya, sektor maritim dan ekonomi biru dikenal pasti sebagai antara pemacu pertumbuhan baharu dalam pelan pembangunan berkenaan.
“Kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan industri perikanan moden, pengukuhan rantaian nilai makanan laut, pengembangan pelancongan marin serta peningkatan infrastruktur pelabuhan.
“Selain itu, pembangunan bandar pesisir dan sempadan turut diberi perhatian sebagai hab ekonomi baharu negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kuih-muih Hari Raya Aidilfitri kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di Menara Kinabalu.
Hajiji berkata, semua potensi itu hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika keselamatan perairan negeri sentiasa terjamin.
“Tanpa keselamatan yang stabil, pelaburan dalam sektor maritim, pelancongan laut dan industri makanan laut sukar berkembang dengan baik,” katanya.
Menurutnya, Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer dan menjadi barisan hadapan Malaysia di Borneo serta Laut Sulu.
Beliau berkata, kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
“Kawasan ini diperkukuh melalui peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang menyelaras operasi keselamatan darat, laut dan udara di Pantai Timur Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, pengukuhan keselamatan bukan sekadar melindungi rakyat, malah membuka ruang kepada pembangunan bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri.
Katanya, pembangunan itu merangkumi aktiviti perdagangan rentas sempadan, logistik, pelabuhan serta industri berasaskan sumber laut.
Dalam pada itu, beliau berkata kesejahteraan negeri turut bergantung kepada tahap keselamatan kesihatan rakyat.
Menurutnya, kerajaan negeri menghargai komitmen petugas kesihatan yang terus berusaha menangani penyakit berjangkit termasuk tuberkulosis (TB) yang masih menjadi cabaran kesihatan awam di Sabah.
“Usaha pengesanan awal, rawatan berterusan serta program kesedaran kesihatan penting bagi melindungi komuniti terutama di kawasan luar bandar dan pesisir,” katanya.

