KOTA KINABALU: Cement Industries Sabah Sdn Bhd (CIS) menyumbang 30 kotak bungkusan kuih raya bernilai RM22,000 kepada pasukan barisan hadapan khususnya anggota keselamatan dan petugas kesihatan di Sabah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Pengerusi CIS Datuk Japlin Akim berkata sumbangan itu disampaikan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu majlis penyerahan di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Beliau berkata sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) CIS sebagai tanda penghargaan kepada pasukan barisan hadapan yang terus berkhidmat menjaga keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
“Mereka terpaksa bertugas pada musim perayaan ini demi keselamatan kita semua, manakala pasukan kesihatan memastikan semua perkhidmatan berada dalam keadaan bersiap sedia setiap masa ketika orang lain menyambut hari raya.
“Jasa dan bakti mereka dalam menjaga keamanan serta kesejahteraan hidup rakyat amat dihargai,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan itu.
Menurutnya, CIS berharap sumbangan berkenaan dapat menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri dalam kalangan anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan yang bertugas.
Beliau berkata sebagai syarikat yang komited terhadap pembangunan komuniti, CIS akan terus menyokong pelbagai inisiatif kemasyarakatan melalui pelaksanaan program CSR yang memberi manfaat kepada masyarakat di Sabah.

