SEMPORNA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah terus mempergiatkan operasi membanteras dadah apabila menahan tiga lelaki dalam Ops Gempur Khas di Kampung Bangau-Bangau, di sini, awal pagi semalam.
Operasi bermula kira-kira 2.30 pagi hingga 7.20 pagi itu melibatkan pasukan JSJN IPK Sabah dibantu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Semporna, menyerbu kawasan yang dipercayai menjadi lokasi pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi berdepan cabaran kerana anggota terpaksa melalui laluan jambatan kayu sempit di kawasan perkampungan atas air untuk menghampiri sasaran.
Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor dan seorang disyaki pengedar manakala dua lagi dipercayai penagih.
“Pemeriksaan menemukan dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 5.01 gram dengan nilai kira-kira RM551.10.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semakan juga mendapati semua suspek berusia 24 hingga 36 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Siasatan awal mendapati suspek pengedar memperoleh bekalan daripada seorang lelaki di kawasan sama dan usaha mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan,” katanya.
Alhusin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.
“JSJN Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu terbabit dalam kegiatan dadah.
“Operasi dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi melindungi masyarakat, khususnya golongan muda daripada terjebak dengan dadah,” katanya.

