Mini estet padi dicadang bangunkan 2,000 hektar tanah terbiar di Sabah
00:03 Mar 12, 2026  |  By SabahKini2
Mini estet padi dicadang bangunkan 2,000 hektar tanah terbiar di Sabah

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar berkata perkara itu dibincangkan dalam sesi libat urus bersama pelbagai agensi pertanian di peringkat negeri dan Persekutuan.

KOTA BELUD: Kerajaan negeri Sabah dengan kerjasama kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pendekatan mini estet padi bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) padi di negeri ini serta mengusahakan tanah-tanah terbiar.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar berkata perkara itu dibincangkan dalam sesi libat urus bersama pelbagai agensi pertanian di peringkat negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, sesi yang dipengerusikannya itu turut melibatkan Pengarah Bahagian Pertanian, Kementerian Ekonomi, Zul Hadi Ahmad, serta agensi-agensi pertanian berkaitan.

Jamawi berkata perbincangan tersebut merangkumi usaha membangunkan kira-kira 2,000 hektar tanah terbiar di Sabah melalui pendekatan mini estet.

“Melalui pendekatan ini, pembangunan tanah terbiar dijangka dibiayai oleh kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi.

“Yang penting, petani akan mendapat hasil serta peluang mengusahakan semula tanah mereka yang sudah lama terbiar tanpa penanaman dan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Pusat Pengeluaran Benih Padi Timbang Menggaris di sini, semalam.

Jamawi berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi membangunkan industri padi di Sabah.

Turut hadir Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga ADUN Pintasan, Fairuz Renddan; Timbalan Pengerusi Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Musbah Jamli; Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI, Awang Dzulkernain Awang Hassan; Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jifrin Mohamad; serta Pengurus Besar LPBS, Dr Ramle Kasin.

Comment