KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter walaupun harga minyak global menunjukkan peningkatan susulan ketegangan geopolitik di rantau Selat Hormuz.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak dunia yang boleh memberi tekanan kepada kos sara hidup.
Menurut beliau, bekalan minyak negara masih berada pada tahap stabil dan terkawal selepas Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memberi jaminan bahawa bekalan bahan mentah mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei tahun ini.
“Keadaan ini tentunya berbeza dengan kebanyakan negara lain. Ia hasil daripada tatakelola yang baik serta pengurusan yang cekap, beramanah dan profesional,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha melindungi kepentingan rakyat, khususnya daripada kesan kenaikan harga minyak dan barangan keperluan.
“Saya telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri untuk menetapkan harga Budi95 bagi rakyat. Ini merupakan keputusan yang sukar, namun kerajaan akan mengekalkan harga pada RM1.99 seliter walaupun harga pasaran sebenar jauh lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mempengerusikan jawatankuasa khas berkaitan penguatkuasaan bahan api, khususnya diesel, di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Langkah itu bertujuan memperketat pengawasan serta memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan melalui kegiatan penyeludupan atau penyelewengan bahan api bersubsidi.

