KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 300 orang daripada 93 keluarga setakat jam 8 pagi ini, berbanding 270 orang daripada 82 keluarga yang direkodkan semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah berkata, sebanyak 30 kampung di daerah Paitan terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Menurut kenyataan itu, lima pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan bagi menempatkan mangsa terjejas, iaitu Pusat Komuniti Batagon Darat, Gereja PCS Purubatu, Surau Nur Hikmah Kampung Kaindangan, Dewan SK Lubang Buaya dan Dewan Terbuka Daerah.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa kawasan di pedalaman Sabah akan mengalami ribut petir sepanjang hari ini.

