Kerajaan tindak penyeludupan barang subsidi susulan konflik Asia Barat
15:03 Mar 12, 2026  |  By SabahKini2
Kerajaan tindak penyeludupan barang subsidi susulan konflik Asia Barat

Operasi akan melibatkan KPDN, penguat kuasa sempadan dan kastam. Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat jika terdapat penyeludupan bagi tindakan segera.

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengaktifkan semula jawatankuasa khas bagi memantau dan menguatkuasakan barangan kawalan bersubsidi, susulan ketegangan di Asia Barat yang meningkatkan risiko penyeludupan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof itu akan bermesyuarat Isnin depan untuk merangka strategi bersepadu mengekang penyeludupan.

“Pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperkasa kerana jurang harga bahan api bersubsidi dalam negara dengan negara jiran boleh mendorong penyeludupan,” katanya pada sidang media Program Ronda Ramadan Ihsan Food Bank (i-FB).

Operasi akan melibatkan KPDN, penguat kuasa sempadan dan kastam. Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat jika terdapat penyeludupan bagi tindakan segera.

Armizan menegaskan bekalan bahan api mencukupi dan orang ramai tidak perlu risau.

Ketegangan di Asia Barat meningkat sejak 28 Februari susulan serangan Israel dan AS ke atas Iran, diikuti balasan Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

Comment