KOTA KINABALU: Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Bakri Bibi, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan bayaran perkhidmatan berjumlah RM19,440, lapan tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, tiga dokumen palsu digunakan untuk menuntut bayaran makan dan minum program AADK di Kunak sebanyak RM9,700.
Satu lagi pertuduhan membabitkan tuntutan program di Tawau berjumlah RM4,500, manakala dua pertuduhan terakhir adalah tuntutan membekal bahan binaan aktiviti gotong-royong komuniti di Tawau sebanyak RM5,240.
Kesalahan itu didakwa berlaku di pejabat AADK Negeri Sabah antara Ogos 2018 hingga April 2019 dan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 dengan penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai SPRM, Norsham Shaharom, manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Shah.
Hakim Elsie Primus membenarkan Bakri diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, syarat menyerahkan pasport, melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan serta tidak mengganggu saksi dan proses perbicaraan.
Kes akan disebut semula pada 27 April.

