Kecuaian pemandu punca perlanggaran Railbus RB8801 di Tenom
16:03 Mar 12, 2026  |  By SabahKini2
Kecuaian pemandu punca perlanggaran Railbus RB8801 di Tenom

Hasil siasatan mendapati pemandu Railbus RB8801 tidak menutup 'isolating valve' pada 'Tenom End Driving Cab' dan gagal menjalankan ujian dinamik untuk memastikan sistem brek berfungsi dengan baik.

KOTA KINABALU: Insiden melibatkan Railbus RB8801 dan motor troli di Kilometer 134/4 Tenom pada 3 Mac lepas berpunca daripada kecuaian pemandu, yang gagal membuat pemeriksaan ke atas jentera sebelum memulakan perjalanan, kata Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), siasatan dalaman oleh Lembaga Siasatan (BOE) dijalankan pada 9 Mac 2026, dan hasilnya dimaklumkan kepada jemaah menteri pada 11 Mac.

Hasil siasatan mendapati pemandu Railbus RB8801 tidak menutup 'isolating valve' pada 'Tenom End Driving Cab' dan gagal menjalankan ujian dinamik untuk memastikan sistem brek berfungsi dengan baik. Kecuaian ini menyebabkan perlanggaran dengan motor troli.

"Pemeriksaan yang dijalankan selepas Railbus berhenti di KM133/8 mendapati sistem brek kembali berfungsi sepenuhnya, membolehkan jentera itu kembali ke Stesen Tenom tanpa perlu ditarik atau diselamatkan," kata kenyataan itu.

Penolong Jurutera JKNS yang memeriksa jentera selepas kejadian mengesahkan sistem brek beroperasi sepenuhnya, dan perkhidmatan railbus kembali normal pada 4 Mac menggunakan jentera sama. Sehingga kini, Railbus RB8801 beroperasi tanpa sebarang masalah.

Siasatan BOE dilakukan secara menyeluruh dengan merujuk laporan kejadian, keterangan kakitangan Bahagian Kejuruteraan Jentera, rakaman Digital Mobile Video Recorder (DMVR), serta pemeriksaan teknikal dan simulasi di lokasi kejadian.

Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman JKNS, tindakan tatatertib akan disyorkan terhadap pemandu mengikut Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (PPPANS) 2008 kerana cuai dalam menjalankan tugas.

JKNS juga akan memperkukuh prosedur operasi dan meningkatkan tahap pematuhan terhadap aspek keselamatan bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang.

Selain itu, kawasan rizab kereta api adalah kawasan larangan, dan sebarang aktiviti di landasan perlu mendapat kelulusan menteri melalui syor pengarah JKNS. Penggunaan motor troli yang dibina daripada motosikal tanpa kebenaran merupakan kesalahan serius yang boleh menjejaskan keselamatan operasi kereta api.

Comment