Skandal Dana BAIKS: Kontraktor Kroni & Bekas Pengarah DIDR Tseu Kei Yui Sudah Didakwa — SUT MIDE terus berkuasa
05:03 Mar 13, 2026  |  By SabahKini2
Skandal Dana BAIKS: Kontraktor Kroni & Bekas Pengarah DIDR Tseu Kei Yui Sudah Didakwa —  SUT MIDE terus berkuasa

Pemberi rasuah Kenny Ang Ka Fat dan isterinya Anita Mohamed sudah didakwa Ogos 2025. Kini bekas Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Tseu Kei Yui pula didakwa. Namun dalang besarnya SUT terus berkuasa dan kebal

KOTA KINABALU – Apa yang sebelum ini dianggap sekadar dakwaan dalam blog dan dinafikan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah pada tahun 2024, kini terbukti bukan sekadar khabar angin.

Kes rasuah yang membabitkan bekas Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Tseu Kei Yui akhirnya meletup di mahkamah, sekali gus membuka persoalan besar tentang penyelewengan dana BAIKS yang selama ini diagihkan melalui pelbagai skim geran kerajaan.

Menurut siasatan, Tseu didakwa menyeleweng dana BAIKS bersama proksi-proksinya. Dana berkenaan sepatutnya digunakan untuk membantu pembangunan industri dan usahawan di Sabah, namun kini menjadi saluran habuan kepada rangkaian tertentu.

Lebih awal, dua ahli perniagaan yang didakwa menjadi pemberi rasuah kepada Tseu Kei Yui – Anita Mohamed, 54, dan Ang Ka Fat @ Kenny, 57 – telah pun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah pada Ogos 2025. Pasangan suami isteri itu dituduh mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM3.6 juta kepada DIDR Sabah.

Namun di sebalik perkembangan tersebut, satu persoalan besar masih berlegar: mengapa individu yang telah disiasat SPRM sebelum ini menjadi punca sebenar  kes masih tidak didakwa dan kekal bebas sebagai SUT Kementerian. Media sebelum ini melaporkan Datuk Thomas Logijin turut disiasat SPRM skandal dana BAIKS ini. Banyak skandal lain dikaitkan dengan  beliau seperti Cement Industries (Sabah) Sdn.Bhd (CIS), Invest Sabah dan KKIP Power Sdn Bhd.

Setakat ini, Datuk Thomas Logijin Setiausaha Tetap Kementerian dilihat masih terselamat daripada sebarang pertuduhan rasuah walaupun namanya sering dikaitkan sebagai tokoh yang berada di belakang rangkaian skandal ini.

Pendakwaan Tseu Kei Yui – Kambing hitam

Hari ini, bab baharu skandal ini bermula apabila Tseu Kei Yui, 58, bekas Pengarah DIDR yang kini menjawat jawatan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah, dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap 20 pertuduhan bersubahat dengan kira-kira 20 penjawat awam di bawah jabatannya bagi menerima pelbagai barangan berharga yang dianggarkan bernilai sekitar RM100,000.

Pertuduhan tersebut melibatkan kes di beberapa lokasi termasuk Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu, dengan tiga pertuduhan berkaitan Tawau, dua di Sandakan dan selebihnya di ibu negeri.

Menurut kertas pertuduhan, Tseu yang ketika itu Pengarah DIDR didakwa bersubahat menerima pelbagai barangan daripada beberapa syarikat yang dipercayai mempunyai urusan rasmi dengan jabatan tersebut sepanjang 2023 hingga 2024.

Antara barangan yang diterima termasuk telefon pintar iPhone 15 Pro Max, tablet, alat muzik serta set peralatan gim, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai sekitar RM100,000.

Tseu didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah Sesyen yang dipengerusikan Hakim Elsie Primus membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan deposit RM10,000 serta isterinya sebagai penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 24 April sebagai tarikh pengurusan kes pra-perbicaraan.

Selain itu, Tseu diarahkan melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Batholomew Jingulam.

Namun persoalan sebenar masih belum terjawab – adakah kes ini hanya berhenti kepada seorang bekas pengarah jabatan, atau akan membawa kepada individu lebih berpengaruh yang didakwa mengawal operasi penyelewengan dana BAIKS ini?

Dana BAIKS sepatutnya sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat dan usahawan tempatan di Sabah melalui pelbagai skim geran pembangunan industri. Namun, program yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat itu kini tercemar apabila didakwa disalahgunakan oleh segelintir pegawai dan pihak berkepentingan untuk kepentingan peribadi.

Setakat ini, banyak pihak di Sabah melihat kes ini sebagai hanya permulaan kepada skandal yang lebih besar dalam pengurusan dana pembangunan negeri.

 

Comment