RM1.2 juta zakat disalur, 60 anak yatim diraikan Qhazanah Sabah
01:03 Mar 18, 2026  |  By SabahKini2
RM1.2 juta zakat disalur, 60 anak yatim diraikan Qhazanah Sabah

Pengerusi Qhazanah Sabah, Tan Sri Anifah Aman berkata, penganjuran program itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat pihaknya dalam membantu golongan memerlukan.

KOTA KINABALU: Seramai 60 anak yatim dari HOME Tuaran dan Persatuan Rumah Anak Yatim & Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim dan Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Qhazanah Sabah, pada Isnin.

Pengerusi Qhazanah Sabah, Tan Sri Anifah Aman berkata, penganjuran program itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat pihaknya dalam membantu golongan memerlukan.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan Kumpulan Qhazanah Sabah telah menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM135,000.

Selain itu, katanya, syarikat bersekutu Celcom Timur Sabah Sdn Bhd turut menyumbang sebanyak RM1.1 juta kepada Pusat Zakat Sabah untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

“Semoga sumbangan ini membawa manfaat dan keberkatan kepada semua pihak,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Anifah menegaskan kepentingan untuk tidak mengabaikan tanggungjawab sosial dalam usaha mengejar kemajuan ekonomi.

“Bulan Ramadan mengingatkan kita tentang nilai keinsanan, keprihatinan dan kepentingan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta beberapa tetamu kehormat lain.

Comment