PPM Sabah tumpaskan sindiket diesel, rampas RM325,205
01:03 Mar 18, 2026  |  By SabahKini2
PPM Sabah tumpaskan sindiket diesel, rampas RM325,205

Komandernya, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata serbuan kira-kira 8 malam Isnin itu dilakukan hasil maklumat orang awam berhubung aktiviti mencurigakan di lokasi berkenaan.

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah premis di Jalan Bunga Raya di sini dan merampas 17,850 liter minyak diesel yang dipercayai diseleweng.

Komandernya, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata serbuan kira-kira 8 malam Isnin itu dilakukan hasil maklumat orang awam berhubung aktiviti mencurigakan di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan di premis tidak bernombor itu membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kegiatan tersebut.

“Siasatan awal mendapati sindiket menggunakan kenderaan yang diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan untuk menyimpan dan memindahkan diesel secara haram,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, lima kenderaan yang diubah suai ditemukan di lokasi, selain sebuah tangki simpanan jenis “skid tank” yang mengandungi kira-kira 16,000 liter diesel.

“Keseluruhan rampasan diesel dianggarkan bernilai RM76,755, manakala jumlah nilai rampasan termasuk kenderaan dan tangki mencecah RM325,205,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi membanteras penyelewengan barang kawalan, dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Comment