KOTA KINABALU: Kerajaan menegaskan bekalan beras di Sabah kekal mencukupi dan berada pada tahap selamat meskipun berlaku peningkatan pembelian termasuk pembelian panik di beberapa kawasan pedalaman baru-baru ini.
Situasi itu dilaporkan berlaku di daerah Keningau dan Tenom susulan penyebaran khabar angin kononnya konflik antara Amerika Syarikat dan Iran akan menjejaskan bekalan beras sehingga tiga bulan.
Namun, pihak berkuasa menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas serta tidak memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan di negeri ini.
Tinjauan di sekitar Kota Kinabalu mendapati bekalan beras di pasaran masih stabil dengan proses pengedaran berjalan seperti biasa tanpa gangguan.
Pembelian panik yang berlaku juga dilihat bersifat terpencil dan sementara, selain tidak menjejaskan keseluruhan bekalan di negeri ini.
Keadaan sama turut dilaporkan di Kuala Penyu apabila bekalan terus dihantar ke premis jualan seperti biasa, dengan penghantaran terakhir direkodkan pada Isnin.
Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Julita Majungki berkata, pihaknya memberi perhatian terhadap isu ini dari sudut kesejahteraan rakyat, khususnya melibatkan akses kepada makanan asas di peringkat isi rumah.
Menurutnya, walaupun tiada aduan besar diterima setakat ini, kementerian bersedia mengambil tindakan segera termasuk menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan sekiranya perlu.
“Kita akan terus memantau situasi di peringkat komuniti dan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang tersebar di media sosial sehingga mencetuskan pembelian panik.
Katanya, tindakan berhemah dalam pembelian barangan keperluan amat penting bagi memastikan bekalan kekal stabil dan mencukupi untuk semua.
Kerajaan, katanya lagi, akan terus memperkukuh pemantauan serta koordinasi antara agensi bagi memastikan sebarang isu bekalan dapat ditangani dengan segera dan berkesan.

