Hajiji, Armizan bincang isu bahan api Sabah, jaminan bekalan diberi
00:03 Mar 25, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji, Armizan bincang isu bahan api Sabah, jaminan bekalan diberi

Hajiji menegaskan kepentingan bekalan bahan api yang konsisten bagi menyokong aktiviti ekonomi negeri, termasuk sektor logistik, perikanan dan pertanian yang banyak bergantung kepada diesel.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, di Menara Kinabalu.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada isu bekalan bahan api di Sabah, khususnya petrol dan diesel, susulan kebimbangan kemungkinan berlakunya gangguan bekalan yang boleh menjejaskan pengguna serta sektor ekonomi negeri.

Armizan berkata kerajaan Persekutuan melalui kementeriannya akan terus memastikan bekalan bahan api di Sabah kekal mencukupi dan stabil.

“Pemantauan rapi serta penyelarasan berterusan bersama agensi berkaitan akan diperkukuh bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan, khususnya di kawasan luar bandar dan sektor kritikal,” katanya.

Sementara itu, Hajiji menegaskan kepentingan bekalan bahan api yang konsisten bagi menyokong aktiviti ekonomi negeri, termasuk sektor logistik, perikanan dan pertanian yang banyak bergantung kepada diesel.

Dalam perkembangan berasingan, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mohd Salim Fateh Din, yang memberi taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah serta inisiatif bandar pintar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib, serta Ahli SKMM, Zulkifeli Mohd Zin.

Comment