Sabah sambut ulang tahun rasmi ke-75 TYT dengan istiadat penuh tradisi
16:03 Mar 30, 2026  |  By SabahKini2
Sabah sambut ulang tahun rasmi ke-75 TYT dengan istiadat penuh tradisi

Hajiji, yang diiringi isterinya Juliah Salag, tiba sekitar jam 7.55 pagi dan menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama sebaik naik ke pentas utama.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor hari ini menghadiri Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang Dipertua Negeri Sabah, Musa Aman, di Padang Merdeka.

Hajiji, yang diiringi isterinya Juliah Salag, tiba sekitar jam 7.55 pagi dan menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama sebaik naik ke pentas utama.

Istiadat mencapai kemuncak dengan ketibaan Musa Aman bersama Toh Puan Faridah Haji Tussin pada jam 8 pagi.

Sebaik tiba, lagu kebangsaan Negaraku dan Sabah Tanah Airku dimainkan, diikuti tembakan 17 das meriam sebagai tanda penghormatan. Musa kemudian menerima tabik hormat diraja sebelum memeriksa Kawalan Kehormatan Utama.

Beliau turut berkenan memeriksa kontinjen perbarisan yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan etnik, institusi pengajian tinggi serta pelajar sekolah.

Istiadat itu turut diserikan dengan persembahan koir dan persembahan khas oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Turut hadir ialah barisan dif kenamaan termasuk anggota Kabinet negeri dan Persekutuan, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen serta ketua jabatan.

Comment