KOTA KINABALU: Anak kepada Tun Musa Aman dan Hajiji Noor antara penerima darjah kebesaran Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Tun Musa, hari ini.
Hazem Mubarak Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.
Turut menerima darjah sama ialah Mohd Ghazali, anak kepada Hajiji yang juga Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman.
Seorang lagi penerima PGDK ialah Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar, anak kepada Allahyarham Bung Moktar Radin.
Naim sebelum ini memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dalam pilihan raya kecil pada 24 Januari lalu susulan kematian bapanya selaku penyandang.
Ketiga-tiga mereka adalah antara 79 penerima PGDK tahun ini.
Selain itu, beberapa pemimpin lain turut menerima darjah berkenaan termasuk bekas ADUN Labuk Abdul Rahman Kongkawang, Ketua Cabang PKR Beaufort Dikin Musah dan Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim.
Secara keseluruhan, seramai 1,026 individu tersenarai sebagai penerima pingat dan darjah kebesaran Sabah tahun ini.
Bagi darjah kebesaran tertinggi negeri, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima, ia dianugerahkan kepada tokoh korporat Datuk Abdul Farish Abd Rashid.
Turut menerima SPDK ialah Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail serta Ketua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Majlis pengurniaan berlangsung di Istana Seri Kinabalu selepas istiadat perbarisan sempena sambutan ulang tahun rasmi itu di Padang Merdeka, pagi tadi.

