LAHAD DATU: Cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi menggunakan sebuah lori gagal apabila dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam serbuan di Kampung Atiam, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, sebuah lori ditahan bersama seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun yang dipercayai pemandu kenderaan berkenaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Amri Abdul Rahman berkata, pemeriksaan ke atas lori yang ditutup dengan kain kanvas menemukan beberapa bungkusan plastik hitam mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan minyak masak bersubsidi yang disorok di dalam bungkusan berkenaan.
“Setiap kotak mengandungi 17 paket dan keseluruhan rampasan adalah sebanyak 64 kotak bersamaan 1,088 paket minyak masak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pemandu lori terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membawa serta menyimpan bekalan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM42,790,” jelasnya.
Amri menegaskan, pihaknya akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan penyelewengan barangan bersubsidi bagi memastikan bekalan sampai kepada golongan sasaran.
“PPM komited menjalankan pemantauan dan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan demi kepentingan sendiri,” katanya.

