Sabah catat peningkatan keputusan SPM 2025, jurang bandar-luar bandar mengecil
18:03 Mar 31, 2026  |  By SabahKini2
Sabah catat peningkatan keputusan SPM 2025, jurang bandar-luar bandar mengecil

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin, berkata jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar turut mengecil sebanyak 0.50 mata.

KOTA KINABALU: Sabah mencatat peningkatan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 apabila Gred Purata Negeri (GPN) bertambah baik kepada 4.85 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin, berkata jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar turut mengecil sebanyak 0.50 mata.

Beliau berkata, GPN calon bandar meningkat kepada 4.53 berbanding 4.65 pada 2024, manakala calon luar bandar mencatat 5.03 berbanding 5.21 sebelumnya.

“Ini menunjukkan jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar semakin mengecil,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Mohamad Ali di Ranau.

Dari segi pencapaian cemerlang, tiga calon memperoleh semua A+ dalam semua mata pelajaran, berbanding enam pada 2024.

Bagaimanapun, bilangan calon yang memperoleh kombinasi A+, A dan A- meningkat kepada 605 orang (1.63%) berbanding 580 orang (1.64%) tahun sebelumnya.

Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya gred C dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 6,150 orang (16.61%), berbanding 3,437 orang (9.74%) pada 2024.

Sementara itu, 14,533 calon (39.24%) memperoleh sekurang-kurangnya gred E dalam semua mata pelajaran, meningkat 1.60% berbanding tahun sebelumnya.

Raisin berkata, secara keseluruhan keputusan SPM 2025 menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

Katanya, pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memastikan sistem pendidikan kekal berkualiti, inklusif dan memberi peluang yang adil kepada semua calon.

Comment